catatan baru

Wednesday, March 4, 2009

"MySize Standardkan Saiz Ukuran Rakyat Malaysia"

Pengimbas Permukaan Badan 3D dapat mengimbas seorang individu hanya dalam masa satu hingga dua minit dan menghasilkan sehingga 200 ukuran badan.
Jika kita membeli pakaian siap di kedai atau butik, selalunya tidak menepati saiz badan kerana ada kalanya baju tersebut sesuai tetapi lengan atau kainnya yang terlalu labuh.
Adakalanya saiz S pada baju sesebuah jenama tidak sama dengan saiz S pada jenama yang lain menyebabkan pengguna perlu teliti dalam pemilihan pakaian siap. Itu belum kira saiz Malaysia, saiz Amerika Syarikat, saiz United Kingdom, sehingga saiz Thailand pun ada!
Justeru ramai yang lebih gemar menempah pakaian daripada membeli pakaian siap tetapi harganya pula agak tinggi.

Mengapa perkara berkenaan berlaku? Bagaimana saiz piawai pakaian diambil? Apakah setiap negara mempunyai saiz piawaian sendiri ?
Setakat ini negara-negara seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Thailand mempunyai saiz dan bentuk piawai tubuh badan bagi penduduknya menerusi kaji selidik SizeUSA, SizeUK san SizeThailand.
Pusat Penyelidikan Sains Pengkomputeran dan Maklumat dalam Biologi, Bioindustri, Alam Sekitar, Pertanian dan Penjagaan Kesihatan (CRYSTAL), Universiti Malaya telah mengambil inisiatif untuk menjalankan kaji selidik mengenai saiz dan bentuk tubuh badan penduduk Malaysia menggunakan Pengimbas Permukaan Badan tiga demensi (3D).
Menurut Pengarah Projek MySize (Malaysian Sizing Survey Using 3D Surface Body Scanner), Prof. Madya Dr. Amir Feisal Merican Aljunid Merican, bentuk badan dan saiz manusia tersembunyi pelbagai maklumat berguna yang berkaitan dengan gaya hidup termasuk penjagaan kesihatan dan rawatan perubatan.

"Salah satu matlamat projek MySize ini adalah untuk membantu pihak yang berkenaan seperti SIRIM mewujudkan suatu piawaian kebangsaan terutamanya untuk saiz pakaian, di samping itu juga ia boleh digunapakai dalam industri automobil dalam rekaan tempat duduk kenderaan," tambah beliau lagi.

Walaupun pengukuran saiz tubuh badan pernah dijalankan di Malaysia tetapi kaedah yang digunakan adalah secara manual dan saiz sampel yang kecil dari segi statistik.
Kaedah manual semasa mengambil ukuran badan menggunakan pita ukur biasanya tidak tepat dan terhad kepada beberapa ukuran saja kerana mengambil masa yang lama.
"Subjek juga biasanya tidak selesa dengan sentuhan, manakala ukuran yang didapati juga tidak seragam kerana akan berubah-ubah mengikut orang yang mengambil ukuran.
"Selain itu kaedah pengukuran secara manual juga melibatkan kos yang tinggi apabila melibatkan ramai individu yang perlu diukur," katanya.
Projek MySize anjuran CRYSTAL Universiti Malaya akan menggunakan teknologi terkini iaitu fotogametri yang berdasarkan imbasan cahaya biasa.
Teknologi ini adalah selamat kepada individu-individu yang akan diukur berbanding dengan teknologi pengimbasan lain yang menggunakan laser atau gelombang radio.
Projek yang menggunakan Pengimbas Permukaan Badan 3D ini dapat mengimbas seorang individu hanya dalam masa satu hingga dua minit dan menghasilkan sehingga 200 ukuran badan seperti panjang tangan, ukur lilit pinggang, ukuran dari bahu ke bahu dan sebagainya.
Ketepatan pengukuran adalah 99.5 peratus
Pengimbas badan yang menggunakan teknologi 3D ini terdiri daripada 32 kamera dan 16 sensor bagi mengambil semua imej saiz dan bentuk badan subjek.
Dr. Amir berkata pengimbas berkenaan adalah yang pertama dan satu-satunya terdapat di negara ini dan bukan hanya untuk mengimbas saiz dan bentuk badan.

Ia juga boleh digunakan bagi aplikasi lain seperti penjagaan kesihatan umpamanya meneliti perkembangan saiz dan bentuk badan semasa program pelangsingan badan.
Projek ini juga mendapat sokongan kuat daripada Professor Philip Treleavan, pakar bidang Sains Komputer, University College London (UCL), England yang merupakan Pengarah projek SizeUK serta penasihat untuk projek SizeUSA dan SizeThailand.
"Kerjasama erat yang sekian lama terjalin bakal memberikan banyak input kerana UCL mempunyai banyak pengalaman dalam menjalankan kajiselidik seperti ini.
"Selain itu, projek MYSize ini akan juga melibatkan pihak peneraju SizeThailand," katanya.
Projek yang bakal dimulakan dalam masa terdekat ini dijangka mengambil masa dua tahun untuk pengumpulan dan menganalisis data.
"Semua data berkenaan akan dianalisis oleh penyelidik-penyelidik tempatan menggunakan perisian sedia ada," tambah beliau lagi.
Menurut Dr Amir lagi, beliau dan pengurus-pengurus projek MYSize ini begitu teruja dengan sambutan yang amat menggalakkan oleh para pengunjung Ekspo Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaya 2009 yang telah diadakan baru-baru ini.
Banyak pertanyaan serta cubaan pengimbasan yang berjaya dilakukan terhadap individu-individu yang juga termasuk kanak-kanak yang lengkap berpakaian.
"Ini adalah satu cara yang amat baik bagi melibatkan serta mendekatkan masyarakat dengan kajian saintifik yang biasanya dijalankan di dalam makmal," katanya.
Dr. Amir berkata, bagi menjayakan projek ini, pihaknya memerlukan banyak sokongan dan bantuan umpamanya tajaan pakaian yang sesuai semasa proses pengimbasan dijalankan.
Menurut beliau lagi, projek seperti ini adalah mencabar terutamanya di sebuah negara Asia seperti Malaysia.

Ini disebabkan, kaji selidik sebenar memerlukan subjek menanggalkan hampir keseluruhan pakaian bagi memastikan saiz dan bentuk badan yang sebenar diperoleh.
Perkara seperti ini tidak menjadi masalah di negara Barat seperti UK dan USA tetapi telah menimbulkan sedikit kesulitan di Thailand terutama kepada wanita.
Namun begitu, Dr Amir dan kumpulan penyelidikannya bercadang menggunakan sejenis pakaian yang lebih nipis, ketat dan menutupi keseluruhan tubuh badan semasa pengimbasan dijalankan.

Bagi memastikan bahawa projek ini menghasilkan data yang berkualiti tinggi, sebanyak 10,000 hingga 15,000 sukarelawan yang terdiri dari pelbagai etnik, umur, jantina, ketinggian, bentuk badan, sosioekonomi dan geografi diperlukan sebagai sampel.
Oleh yang demikian, projek ini akan menjelajah ke beberapa kawasan yang telah dirancang iaitu Utara Semenanjung, Tengah, Selatan, Timur dan Sabah serta Sarawak.
"Buat masa ini, pihak kami sedang mencari penaja atau rakan kongsi bagi projek ini dan kami mengamalkan konsep terbuka mengenainya.
"Contoh-contoh penaja adalah seperti gedung-gedung pakaian atau pasar raya besar, pengusaha-pengusaha pakaian, pihak media, pembuat kenderaan dan sebagainya di mana penaja atau rakan kongsi ini akan mendapat akses kepada data-data yang dianalisis," katanya.
Beliau menegaskan bahawa hanya data-data yang telah dianalisis sahaja yang akan dikongsikan.
Dr. Amir juga ingin menjemput universiti, institusi penyelidikan tempatan serta agensi kerajaan dan bukan kerajaan untuk bekerjasama menjalankan projek ini.
Setakat ini Persatuan Pengilang Tekstil Malaysia (MTMA) telah menyatakan kesediaan untuk terlibat sama.

Bagi mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai projek MySize boleh menghubungi Profesor Madya Dr. Amir Feisal Merican atau pengurus-pengurus projek (Mazlina, Noraini, Noor Khaireyah dan Shuhaizal) di talian 03-79676745 atau e-mel: crystal@um.edu.my

No comments: