catatan baru

Wednesday, March 4, 2009

"Kapal Angkasa AS Cari Planet Seperti Bumi"

WASHINGTON 20 Feb - Sebuah kapal angkasa lepas Amerika Syarikat (AS) yang dilengkapi kamera terbesar dihantar ke angkasa lepas, bakal dilancarkan pada bulan depan bagi mencari planet lain yang mempunyai hidupan seperti bumi.
Menurut Pengarah Bahagian Astro-Fizik Pentadbiran Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA), Jon Morse, kapal angkasa lepas Kepler dijangka dilancarkan dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral di Florida bersama roket Delta II pada 5 Mac ini.
''Kepler akan menjelajah ke sempadan yang belum pernah diketahui di galaksi Bima Sakti. Penemuannya mungkin akan mengubah pandangan manusia,'' kata Morse.
Kepler dibina oleh anak syarikat Ball Corp BLL.N, Teknologi Ball Aeroangkasa di Colorado.
Terdapat kira-kira 300 planet mengorbit bintang berbanding matahari ditemui sejak 1995, namun kebanyakannya terdiri daripada planet-planet gas yang tidak sesuai untuk didiami hidupan.
Misi terbaru ini bertujuan mencari planet berbatu yang mengorbit di zon yang boleh didiami, di mana ia terletak terlalu dekat dan tidak terlalu jauh dengan bumi.
''Kami berminat mencari planet yang tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk.
''Kami mencari planet yang boleh ditemui air padanya. Planet yang mengandungi air pada permukaannya mungkin boleh didiami, kerana air adalah keperluan penting untuk kehidupan,'' kata William Borucki dari Pusat Kajian Ames, NASA di Moffett Field, California.
Borucki berkata, Kepler mungkin boleh mengenal pasti sehingga 50 planet, namun ia tidak boleh dijamin.
''Jika Kepler berjaya menemui sebanyak itu, ia menunjukkan kehidupan adalah sesuatu yang biasa di galaksi kita, ia juga menandakan akan berlaku evolusi tempat tinggal untuk hidupan,'' ujarnya.
Tambah Borucki, jika tiada atau hanya beberapa planet dikesan, ia menunjukkan planet yang boleh didiami seperti bumi mungkin tiada, malah bumi mungkin merupakan satu-satunya planet yang boleh dihuni. - Reuters

No comments: