catatan baru

Wednesday, April 15, 2009

SENARAI PENUH KABINET MENTERI MALAYSIA TERBARU 2009

PERDANA MENTERI:

Datuk Seri Najib Tun Razak

TIMBALAN PERDANA MENTERI:

Tan Sri Muhyiddin Yassin

MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI

1. Tan Sri Dr Koh Tsu Koon (Hal Ehwal Perpaduan & Pengurusan Prestasi)

2. Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Hal Ehwal Perundangan dan Parlimen)

3. Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Unit Perancang Ekonomi)

4. Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom (Hal Ehwal Agama Islam)

Timbalan-timbalan Menteri:

1. Datuk Liew Vui Keong

2. Datuk Dr Mashitah Ibrahim

3. Datuk S.K. Devamany

4. Ahmad Maslan

5. T.Murugiah

MENTERI KEWANGAN:

Datuk Seri Najib Tun Razak

MENTERI KEWANGAN II:

Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah

Timbalan:

1. Datuk Chor Chee Heung

2. Datuk Dr Awang Adek Hussin

MENTERI PELAJARAN:

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Timbalan:

1. Datuk Dr Wee Ka Siong

2. Dr Mohd Puad Zarkashi

MENTERI PENGANGKUTAN:

Datuk Ong Tee Keat

Timbalan:

1. Datuk Abdul Rahim Bakri

2. Datuk Robert Lau Hoi Chew

MENTERI PERUSAHAAN, PERLADANGAN DAN KOMODITI:

Tan Sri Bernard Dompok

Timbalan:

1. Datuk Hamzah Zainudin

MENTERI DALAM NEGERI:

Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein

Timbalan:

1. Datuk Wira Abu Seman Yusop

2. Jelaing anak Mersat

MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI, KESENIAN DAN KEBUDAYAAN:

Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim

Timbalan:

1. Datuk Joseph Salang Gandum

2. Senator Heng Seai Kie

MENTERI TENAGA, TEKNOLOGI HIJAU DAN AIR:

Datuk Peter Chin Fah Kui

Timbalan:

Noriah Kasnon

MENTERI KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN WILAYAH:

Datuk Seri Shafie Apdal

Timbalan:

1. Datuk Hassan Malek

2. Datuk Joseph Entulu anak Belaun

MENTERI PENGAJIAN TINGGI:

Datuk Seri Mohd Khaled Nordin

Timbalan:

1. Datuk Dr Hou Kok Chung

2. Datuk Saifuddin Abdullah

MENTERI PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI:

Datuk Mustapa Mohamed

Timbalan:

1. Datuk Mukhriz Mahathir

2. Datuk Jacob Dungau Sagan

MENTERI SAINS, TEKNOLOGI DAN INNOVASI:

Datuk Dr Maximus Ongkili

Timbalan:

Fadillah Yusof

MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR:

Datuk Douglas Uggah Embas

Timbalan:

Tan Sri Joseph Kurup

MENTERI PELANCONGAN:

Datuk Dr Ng Yen Yen

Timbalan:Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib

MENTERI PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI:

Datuk Noh Omar

Timbalan:

1. Datuk Johari Baharum

2. Datuk Rohani Abdul Karim

MENTERI PERTAHANAN:

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Timbalan:

Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad

MENTERI KERJA RAYA:

Datuk Shaziman Abu Mansor

Timbalan:

Datuk Yong Khoon Seng

MENTERI KESIHATAN:

Datuk Liow Tiong Lai

Timbalan:

Datuk Rosnah Rashid Shirlin

MENTERI BELIA DAN SUKAN:

Datuk Ahmad Shabery Cheek

Timbalan:

1. Datuk Razali Ibrahim

2. Wee Jeck Seng

MENTERI SUMBER MANUSIA:

Datuk Dr S.Subramaniam

Timbalan:Datuk Maznah Mazlan

MENTERI PERDAGANGAN DALAM NEGERI DAN HAL EHWAL PENGGUNA:

Datuk Ismail Sabri Yaakob

Timbalan:

Datuk Tan Lian Hoe

MENTERI PERUMAHAN DAN KERAJAAN TEMPATAN:

Datuk Kong Cho Ha

Timbalan:

Datuk Lajim Ukin

MENTERI PEMBANGUNAN WANITA, KELUARGA DAN MASYARAKAT:

Datuk Seri Sharizat Jalil

Timbalan:Datin Paduka Chew Mei Fun

MENTERI LUAR:

Datuk Anifah Aman

Timbalan:

1. A.Kohilan Pillay

2. Datuk Lee Chee Leong

MENTERI WILAYAH PERSEKUTUAN:

Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin

Timbalan:

Datuk M.Saravanan

Wednesday, April 8, 2009

Kisah Kedatangan Dajal

Ada riwayat Muslim yang diterima dari Fatimah binti Qais mengatakan: “Saya telah mendengar muazzin Rasulullah s.a.w memanggil untuk solat. Saya pun pergi ke masjid dan solat bersama Rasulullah s.a.w. Selesai solat, Rasulullah s.a.w naik ke atas mimbar. Nampak semacam bergurau Baginda tertawa dan berkata: “Jangan ada yang bergerak. Hendaklah semua duduk di atas sajadahnya.” Kemudian berkata: “Tahukah kamu mengapa aku memerintahkan kamu jangan ada yang pulang?” Kami menjawab: “Allah dan Rasul-Nya yang lebih tahu.”



Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Demi Allah aku me-nyuruh kamu berkumpul di sini bukan ingin menakut-nakuti dan bukan memberi khabar gembira. Aku ingin menceritakan kepada kamu bahawa Tamim Al-Dariy adalah seorang Nasrani, kemudian dia datang menjumpai aku dan masuk Islam. Dia ada bercerita kepadaku tentang satu kisah tentang Dajjal. Kisah yang dia ceritakan itu sesuai dengan apa yang telah aku ceritakan kepada kamu sebelumnya.


Katanya dia bersama 30 orang kawannya pergi ke laut dengan menaiki kapal. Angin kencang datang bertiup dan ombak besar membawa mereka ke tengah-tengah samudera yang luas. Mereka tidak dapat menghalakan kapalnya ke pantai sehingga terpaksa berada di atas laut selama satu bulan. Akhirnya mereka terdampar di sebuah pulau menjelang terbenamnya matahari. Di pulau yang tidak ditempati orang itu mereka berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga tidak nampak mana jantina dan duburnya.


Mereka bertanya kepada binatang itu: “Makhluk apa engkau ini?” Binatang itu menjawab: “Saya adalah Al-Jassasah.” Mereka tanya: “Apa itu Al-Jassasah?” Binatang itu hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu. Mereka pun pergi ke tempat yang ditunjukkan oleh binatang itu.


Di sana mereka menjumpai seorang lelaki yang sangat besar dan tegap. Ertinya mereka tidak pernah melihat orang sebesar itu. Dari tangannya sampai ke tengkuknya dikuatkan dengan besi, begitu juga dari lututnya sampai ke telapak kakinya. Mereka bertanya: “Siapakah anda?” Orang seperti raksaksa itu menjawab: “Kamu telah mendengar cerita tentang aku. Sekarang aku pula ingin bertanya: “Siapa kamu ini?”


Mereka menjawab: “Kami adalah manusia berbangsa Arab. Kami pergi ke laut menaiki kapal, tiba-tiba datang ombak besar membawa kami ke tengah-tengah samudera luas dan kami berada di lautan selama satu bulan. Akhirnya kami terdampar di pulau yang tuan tempati ini.


“Pada mulanya kami berjumpa dengan binatang yang sangat tebal bulunya sehingga kami tidak dapat mengenali jantinanya. Kami tanya siapa dia katanya Al-Jassasah. Kami tanya apa maksudnya dia hanya menjawab: “Wahai kumpulan lelaki, pergilah kamu ke tempat ini untuk menjumpai lelaki macam ini, sesungguhnya dia pun ingin berjumpa dengan kamu.”


Itulah sebabnya kami datang ke tempat ini. Sekarang kami sudah berjumpa dengan tuan dan kami ingin tahu siapa tuan sebenarnya.” Makhluk yang sangat besar itu belum menjawab soalan mereka terus sahaja mengemukakan soalan: “Ceritakan kamu kepadaku keadaan kebun kurma yang di Bisan itu,” nama tempat di negeri Syam. Mereka menjawab: “Keadaan apanya yang tuan maksudkan?” Orang besar itu menjawab: “Maksudku apakah pokok kurma itu berbuah?” Setelah mereka menjawab bahawa pokok kurma itu berbuah, orang besar tadi berkata: “Aku takut pokok itu tidak berbuah.”


Orang besar itu bertanya lagi: “Ceritakan kepadaku tentang sungai Tabarah.” Mereka menjawab: “Tentang apanya yang tuan maksudkan?” Lelaki itu menjawab: “Maksudku airnya apakah masih ada.” Mereka menjawab: “Airnya tidak susut.” Lelaki itu berkata: “Air sungai itu disangsikan akan kering.”


Akhirnya lelaki seperti raksaksa itu berkata: “Kalau begitu ceritakan kepadaku tentang Nabi Al-Amin itu, apa yang dia buat?” Mereka menjawab: “Dia telah berhijrah dari Makkah ke Madinah.” Lelaki itu bertanya lagi: “Apakah dia diperangi oleh orang-orang Arab?” Mereka menjawab: “Ya, dia diperangi oleh orang-orang Arab.” Lelaki itu bertanya lagi: “Kalau begitu apa pula tindakan dia terhadap mereka?” Mereka ceritakan bahawa Rasulullah s.a.w telah mengembangkan dakwahnya dan sudah ramai pengikutnya.


Orang besar itu berkata lagi: “Memang begitulah, padahal mereka beruntung jika taat kepadanya.” Kata orang besar itu lagi: “Sekarang aku terangkan kepada kamu bahawa aku adalah Al-Masih Dajjal. Nanti aku akan diberi izin keluar, lalu aku pun akan menjelajah dunia ini. Dalam masa empat puluh malam sudah dapat aku jalani semua, kecuali Makkah dan Madinah yang aku tidak dapat memasukinya. Negeri Makkah dan Madinah dikawal oleh para Malaikat, maka aku tidak dapat menembusinya.”


Kata Tamim Al-Dariy lagi, “Rasulullah s.a.w menekankan tongkatnya di atas mimbar sambil berkata: “Inilah negeri yang tidak dapat dimasukinya itu, iaitu Madinah. Saudara-saudara sekalian apakah sudah aku sampaikan cerita ini kepada kamu?” Mereka menjawab: “Ya, sudah ya Rasulullah.” Rasulullah s.a.w berkata lagi: “Sememangnya hadis Tamim itu lebih meyakinkan saya lagi. Ceritanya itu bersesuaian dengan apa yang telah aku sampaikan kepada kamu sebelumnya, iaitu tentang Makkah dan Madinah yang dikatakan tidak dapat dimasuki Dajjal. Cuma dia ada mengatakan di lautan Syam atau di laut Yaman. Tidak, bahkan ia dari arah timur. Ia dari arah timur,” kata Rasulullah s.a.w sambil menunjuk ke arah timur.


Rasulullah s.a.w telah menguatkan lagi bahawa Dajjal akan datang dari arah timur. Ada yang mengatakan bahawa Dajjal akan datang dari Khurasan atau Asfihan.



Wallahu A'lam


KISAH UNTA MEMATAHKAN RANCANGAN ABU JAHAL UNTUK MEMBUNUH RASULULLAH S.A.W

Setelah pelbagai usaha oleh kaum Quraisy untuk menyekat dan menghapuskan penyebaran agama Islam menemui kegagalan, maka Abu Jahal semakin benci terhadap Rasulullah S.A.W. Kebencian Abu Jahal ini tidak ada tolok bandingnya, malah melebihi kebencian Abu Lahab terhadap Rasulullah S.A.W.

Melihatkan agama Islam semakin tersebar, Abu Jahal pun berkata kepada kaum Quraisy di dalam suatu perhimpunan, "Hai kaumku! Janganlah sekali-kali membiarkan Muhammad menyebarkan ajaran barunya dengan sesuka hatinya. Ini adalah kerana dia telah menghina agama nenek moyang kita, dia mencela tuhan yang kita sembah. Demi Tuhan, aku berjanji kepada kamu sekalian, bahwa esok aku akan membawa batu ke Masjidil Haram untuk dibalingkan ke kepala Muhammad ketika dia sujud. Selepas itu, terserahlah kepada kamu semua samada mahu menyerahkan aku kepada keluarganya atau kamu membela aku dari ancaman kaum kerabatnya. Biarlah orang-orang Bani Hasyim bertindak apa yang mereka sukai."

Tatkala mendengar jaminan daripada Abu Jahal, maka orang ramai yang menghadiri perhimpunan itu berkata secara serentak kepadanya, "Demi Tuhan, kami tidak akan sekali-kali menyerahkan engkau kepada keluarga Muhammad. Teruskan niatmu."

Orang ramai yang menghadiri perhimpunan itu merasa bangga mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Abu Jahal bahwa dia akan menghapuskan Muhammad kerana jika Abu Jahal berjaya menghapuskan Nabi Muhammad S.A.W bererti akan terhapuslah segala keresahan dan kesusahan mereka selama ini yang disebabkan oleh kegiatan Rasulullah S.A.W menyebarkan agama Islam di kalangan mereka.

Dalam pada itu, terdapat juga para hadirin di situ telah mengira-ngira perbelanjaan untuk mengadakan pesta sekiranya Nabi Muhammad S.A.W berjaya dihapuskan. Pada pandangan mereka adalah mudah untuk membunuh Nabi Muhammad S.A.W yang dikasihi oleh Tuhan Yang Maha Esa serta sekalian penghuni langit. Padahal Allah tidak akan sekali-kali membiarkan kekasih-Nya diancam dan diperlakukan seperti binatang.

Dengan perasaan bangga, keesokan harinya di sebelah pagi, Abu Jahal pun terus pergi ke Kaabah iaitu tempat biasa Nabi Muhammad S.A.W bersembahyang. Dengan langkahnya seperti seorang satria, dia berjalan dengan membawa seketul batu besar di tangan sambil diiringi oleh beberapa orang Quraisy yang rapat dengannya. Tujuan dia mengajak kawan-kawannya ialah untuk menyaksikan bagaimana nanti dia akan menghempapkan batu itu di atas kepala Nabi Muhammad S.A.W.

Sepanjang perjalanan itu dia membayangkan bagaimana keadaan Nabi Muhammad nanti setelah kepalanya dihentak oleh batu itu. Dia tersenyum sendirian apabila membayangkan kepala Nabi Muhammad S.A.W pecah dan tidak bergerak lagi. Dan juga membayangkan bagaimana kaum QUraisy akanmenyambutnya sebagai pahlawan yang telah berjaya membunuh musuh nombor satu mereka.

Sebaik saja Abu Jahal tiba di perkarangan Masjidil Haram, dilihatnya Rasulullah S.A.W baru saja sampai dan hendak mengerjakan sembahyang. Dalam pada itu, Nabi Muhammad S.A.W tidak menyedari akan kehadiran Abu Jahal dan kawan-kawannya di situ. Baginda tidak pernah terfikir apa yang hendak dilakukan oleh Abu Jahal terhadap dirinya pada hari itu.

Sebaik-baik saja Abu Jahal melihat Rasulullah S.A.W telah mula bersembahyang, dia berjalan perlahan-lahan dari arah belakang menuju ke arah Nabi Muhammad S.A.W. Abu Jahal melangkah dengan berhati-hati, setiap pergerakannya dijaga, takut disadari oleh baginda.

Dari jauh kawan-kawan Abu Jahal memerhatikan dengan perasaan cemas bercampur gembira. Dalam hati mereka berkata, "Kali ini akan musnahlah engkau hai Muhammad."

Sebaik saja Abu Jahal hendak menghampiri Nabi Muhammad S.A.W dan menghayun batu yang dipegangnya itu, tiba-tiba secepat kilat dia berundur ke belakang. Batu yang dipegangnya juga jatuh ke tanah. Mukanya yang tadi merah kini menjadi pucat lesi seolah-olah tiada berdarah lagi. Rakan-rakannya yang amat ghairah untuk melihat Nabi Muhammad S.A.W terbunuh, tercengang dan saling berpandangan.

Kaki Abu Jahal seolah-olah terpaku ke bumi. Dia tidak dapat melangkahkan kaki walaupun setapak. Melihatkan keadaan itu, rakan-rakannya segera menarik Abu Jahal dari situ sebelum disadari oleh baginda. Abu Jahal masih terpinga-pinga dengan kejadian yang dialaminya.

Sebaik saja dia sedar dari kejutan peristiwa tadi, rakan-rakannya tidak sabar untuk mengetahui apakah sebenarnya yang telah berlaku. Kawannya bertanya, "Apakah sebenarnya yang terjadi kepada engkau, Abu Jahal? Mengapa engkau tidak menghempapkan batu itu ke kepala Muhammad ketika dia sedang sujud tadi?"

Akan tetapi Abu Jahal tetap membisu, rakan-rakannya semakin keheranan. Abu Jahal yang mereka kenali selama ini seorang yang lantang berpidato dan menyumpah seranah Nabi S.A.W, tiba-tiba saja diam membisu.

Dalam pada itu, Abu Jahal masih terbayang-bayang akan kejadian yang baru menimpanya tadi. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang dilihatnya, malah dia sendiri tidak menyangka perkara yang sama akan berulang menimpa dirinya.

Perkara yang sama pernah menimpa Abu Jahal sewaktu Rasulullah S.A.W pergi ke rumah Abu Jahal apabila seorang Nasrani mengadu kepada baginda bahwa Abu Jahal telah merampas hartanya. Pada masa itu Abu Jahal tidak berani berkata apa-apa pada baginda apabila dia terpandang dua ekor harimau menjadi pengawal peribadi Rasulullah S.A.W.

Kemudian setelah habis mereka menghujani Abu Jahal dengan pelbagai soalan, maka Abu Jahal pun mula bersuara, "Wahai sahabatku! Untuk pengetahuan kamu semua, sebaik saja aku menghampiri Muhammad hendak menghempapkan batu itu ke kepalanya, tiba-tiba muncul seekor unta yang besar hendak menendang aku. Aku amat terkejut kerana belum pernah melihat unta yang sebegitu besar seumur hidupku. Sekiranya aku teruskan niatku, nescaya akan matilah aku ditendang oleh unta itu, sebab itulah aku berundur dan membatalkan niatku."

Rakan-rakan Abu Jahal berasa amat kecewa mendengar penjelasan itu, mereka tidak menyangka orang yang selama ini gagah dan beria-ia hendak membunuh Nabi Muhammad S.A.W hanya tinggal kata-kata saja. Orang yang selama ini diharapkan boleh menghapuskan Nabi Muhammad S.A.W dan pengaruhnya hanya berupaya bercakap seperti tin kosong saja.

Setelah mendengar penjelasan dari Abu Jahal yang tidak memuaskan hati itu, maka mereka pun berkata kepada Abu Jahal dengan perasaan keheranan, "Ya Abu Jahal, semasa kau menghampiri Muhammad tadi, kami memerhatikan engkau dari jauh tetapi kai tidak napak akan unta yang engkau katakan itu. Malah bayangnya pun kami tidak nampak."

Rakan-rakan Abu Jahal mula sangsi dengan segala keterangan yang diberikan oleh Abu Jahal. Mereka menyangka Abu Jahal sentiasa mereka-reka cerita yang karut itu, mereka mula hilang kepercayaan terhadapnya. Akhirnya segala kata-kata Abu Jahal mereka tidak berapa endahkan lagi.

.....Indonesia yang aku kenali....

Beberapa hari lepas aku ada peluang duduk semeja dengan pak lebai dari
golongan tabligh yang dah merantau di Pakistan, India, negara2 Arab dan
tak terkecuali di Acheh.

Bila aku tanya kenapa Acheh sebuah negara yang kuat pegangan agamanya
dan mendapat jolokan Serambi Mekah, dilanda bencana yang paling teruk.
Apakah bentuk peringatan yang ditunjukan oleh Allah S.W.T kepada kita
sebenarnya.

Jawapan dia yang pertama yang juga merupakan satu pertanyaan, Pernah ke
aku ke Acheh? Tentu jawapannya aku tak pernah ke sana. Itulah banyak
orang yang tak tahu keadaan disana. Bila dia ceritakan perkara yang
sebenarnya apa yang berlaku semasa dia disana pada tahun 1996 selama
lebih sebulan, orang kata itu adalah fitnah.

Dia kesana bersama jemaahnya pada bulan puasa. Apa yang dilihatnya,
menimbulkan kegaguman pada Islam disana. Orang yang bersembahyang jemaah
disana untuk Maghrib dan Isyak memang ramai. Katakan masjid tu boleh
muat seribu orang, yang pergi 3 ribu. Semua berduyun-duyun. Bukan satu
masjid, bahkan hampir kesemua masjid menampung bilangan 2-3 kali ganda
kapasiti yang boleh muat, melimpah sampai ke jalan.

Apabila tamat saja Ramadhan, bilangan amat jauh berbeza. Bilangan yang
sembahyang jemaah hanya satu saf saja. Bila ditanya, jawapannya semua
sibuk dengan kerja. Waktu Ramadhan, memang adat sembahyang jemaah dan
tarawikh, macam satu pesta. Maknanya Islam disitu lebih kepada adat.

Bila malam bulan Ramadhan, memang diadakan Tadarus Al-Qur'an di masjid2.
Tapi tadarusnya lain sekali dari Malaysia. Caranya dengan selalng seli
antara bacaan oleh pihak perempuan dan lelaki yang berkumpul dalam satu
bulatan. Antara waktu rehat, diadakan jamuan makan yang juga bercampur
antara lelaki dan perempuan yang bertepuk tampar dalam masjid.

Disana juga ada pasentern atau sekolah agama. Pelajar perempuan memang
diwajibkan bertudung. Tapi yang mengecewakan adalah, mereka memakai
skirt yang menampakkan betis mereka. Sedangkan itu juga adalah aurat
yang wajib ditutup.

Pada malam2 tertentu, diadakan ceramah agama. Tapi yang peliknya, ia
lebih kepada cerita jenaka. Tak kira penceramah itu bercakap soal neraka
atau syurga, pendengar akan ketawa terbahak-bahak sampai menepuk lantai,
bukannya seperti kita yang kekadang sehingga menitis airmata keinsafan.

Dari segi penghayatan agama juga amat berlainan. Dalam satu rumah boleh
ada agama yang berbeza. bapa mungkin seorang Islam, tapi anak belum
tentu. Dalam satu rumah Islam, boleh ada ayat2 suci al-Qur'an dan boleh
juga ada salib.

Si bapa yang Islam tidak akan menghalang anaknya menganut agama lain
kerana Pancasila negara juga tidak menghalang. Jadi bila pak Haji ni nak
jumpa bapanya yang Islam, anaknya boleh cakap, urusan agamu adalah
urusan kamu, jangan ganggu agama aku dan bapanya boleh mengiyakan.

Kalau kita kata ramai Hafiz atau penghafaz Qur'an disana, kita silap. Di
Malaysia lagi ramai. Kerajaannya sanggup mengeluarkan tawaran,
barangsiapa anaknya Hafiz, anaknya beserta dia suami isteri akan
dihantar ke Mekah untuk menunaikan haji secara percuma.

Apa yang berlaku disini adalah kerana ulama' disana telah dikatakan
menjadi ulama' pemerintah. Ketika penjajahan Belanda, ramai ulama' Islam
dibunuh dan kitab2 dibakar. Ulama' tulen telah hampir tiada dibumi
Acheh.

Umat Acheh adalah Islam kerana adat sahaja, walaupun bukan semua. Mereka
amat marah jika ada pihak menghina Islam, tapi Islam mereka tidak begitu
sempurna.

Apa yang berlaku pada mereka adalah hampir sama dengan apa yang berlaku
kepada kaum Nabi Luth mahupun kaum Nabi Nuh, mereka dihilangkan dari
bumi Allah dan digantikan dengan kaum yang baru. Begitu juga yang
berlaku di Bosnia misalnya.

Itu adalah salah satu pandangan yang aku perolehi. Ada juga pandangan
dari orang lain yang aku lihat hampir sama dengan pandangan itu tadi.

Kemaafan aku pohon kalau ada yang terguris dan terasa dengan penjelasan
ini. Walau apapun, bersama-samalah kita renungkan cerita pak haji itu
tadi. Kalupun cerita itu tak betul, sekurang-kurangnya ada sedikit
pengajaran.

Tsunami: Hebatnya Kekuatan Allah

....YUZLY....


Bencana Tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 yang lalu masih
menjadi tajuk hangat akhbar bukan sahaja di Malaysia tetapi akhbar
antarabangsa. Ini kerana kesan dari bencana tersebut begitu hebat dan
mengorbankan lebih daripada 150,000 jiwa dan kerosakan harta benda
berbilion ringgit. Negara-negara yang menerima kesan gempa bumi dasar
laut pada skala 9 ialah Indonesia, Malaysia, Sri Lanka, Pulau Maldives,
India, Somalia, Kenya. Ombak setinggi 10 meter yang melanda tidak pernah
dilihat manusia zaman ini. Di Indonesia beberapa pulau telah lenyap dari
peta dunia berserta dengan penghuninya sekali.

Sebagai orang Islam kehebatan bencana alam ini seharusnya tidak
menghairankan kalau dibandingkan apa yang akan terjadi bila kiamat
berlaku. Pada waktu itu nanti ayah tidak pedulikan anak, perempuan yang
mengandung akan gugur kandungannya kerana hendak menyelamatkan diri.
Waktu itu tidak siapa yang selamat.

Bencana Tsunami ini sepatutnya membangunkan kita daripada tidur dan
khayalan. Lihatlah betapa hebatnya kekuasaan Allah. Manakah kekuatan
Kafir Amerika yang digeruni oleh orang Islam selama ini? Apakah kerana
kesyirikan orang Islam zaman moden ini Allah telah memusnahkan mereka?
Tanyalah diri kita sendiri.

Memang tak dinafikan Indonesia terletak di laluan gunung berapi dan
gempa bumi. Tapi bila bencana berlaku, seorang yang bertakwa akan lebih
dulu memuhasabah diri kerana mungkin ada amalan yang tidak diredai
Pencipta Yang Maha Agong. Marilah kita melihat dari aspek kemungkinan
bahawa bala ini merupakan hukuman Allah.

Acheh terkenal dengan jolokan Serambi Mekah. Apakah dari segi realitinya
Islam itu betul-betul diamalkan oleh penduduknya. Kezaliman pemerintah
Indonesia terhadap pejuang Islam dan kepada ulama sungguh terserlah.
Mereka menurut apa yang Amerika mahu. Abu Bakar Basir difitnah dan
dipenjarakan kerana menyampaikan ajaran Islam. GAM yang menentang
kezaliman pemerintah Indonesia berjuang atas dasar apa? Apabila Allah
menurunkan bala ianya akan mengena yang bertakwa atau tidak. Untungnya,
yang bertakwa akan mendapat rahmat daripada Allah walaupun pada
pandangan manusia ia kelihatan seperti hukuman juga. Begitu juga dengan
kanak-kanak. Musnahnya bangunan-bangunan, rumah-rumah di Bandar Aceh
tapi Masjid yang beratus tahun tidak terjejas. Mungkin Allah hendak
membersihkan Serambi Mekah ini daripada bangunan yang dibina dari sumber
haram.

Masih ingatkah kita sebuah Masjid lama di Turki tidak mengalami
kerosakan padahal bangunan sekelilingnya ranap ke bumi semasa berlaku
gempa bumi dulu.

Malaysia berbangga kerana berada di luar garisan gunung berapi dan gempa
bumi. Maka pesta-pesta maksiat tidak dihiraukan malah mendapat sokongan
kuat dari pihak berkuasa. Diadakanlah Pesta Penang Fullstop. Pesta ini
dipromo habis-habisan oleh NTV7. Orang Melayu berpesta. Selang beberapa
hari mereka berduka. Lihatlah perempuan- perempuan Melayu di pesta
tersebut. Yang sedihnya perempuan yang bertudung pun turut
terjerit-jerit. Bila bala datang ianya tidak memilih yang bertudung,
kanak-kanak atau sesiapa sahaja. Konsert Sureheboh sudah dilancarkan.
Mufti telah mengharamkan. Tapi tidak dihiraukan. Tunggulah balanya
nanti. Banjir paling teruk telah melanda Kelantan. Hukum Allah dicabar
di mahkamah. Rakyat Kelantan memberi sokongan kepada mereka yang
mencabar hukum Allah ini.

Tunggulah masanya. Belajarlah dari sejarah umat-umat yang terdahulu di
zaman Nabi Lut, Nabi Salleh, Nabi Noh. Perdana Menteri telah mengarah
supaya tidak berpesta seperti biasa ketika menyambut tahun baru 2005.
Penganjur pesta maksiat ini yang kebanyakan orang Melayu akur. Seruan
yang sama telah disuarakan oleh alim ulama sejak dulu lagi kerana
bertentangan dengan Islam tapi tak dihiraukan. Bukankah syirik namanya?
Semoga kita dilindungi dari bala Allah.

Kerajaan Thailand telah membunuh beratus-ratus orang Islam pada bulan
Ramadhan yang lalu. Sedih kita melihat saudara kita menangis atas
syahidnya keluarga. Ombak Tsunami membalas dengan membunuh beribu-ribu
rakyat Thailand dan pelancong asing di bandar maksiat Phuket. Bukan itu
sahaja berjuta-juta ringgit kerosakan harta benda juga dilaporkan.

Di Sri Lanka, kekejaman tentera Tiger Tamil Ilam dan juga tentera
kerajaan terhadap penduduk Islam bukan menjadi rahsia lagi. Apakah
Bencana Tsunami yang mengena Sri Lanka merupa balasan kepada perbuatan
mereka?

Pulau Maldives sebuah negeri penduduk Islam. Presidennya seorang Islam
yang berkelulusan Universiti Al Azhar. Pulau ini merupakan pusat
peranginan yang popular di kalangan pelancongan dari barat. Nilailah
sendiri akan apa yang disediakan di hotel-hotel dan tempat- tempat
peranginan di Negara ini. Mungkinkah Tsunami merupakan amaran kepada
Presiden berkelulusan Al Azhar ini?

Di India penindasan Hindu kepada orang Islam sudah diketahui umum.
Sehingga Masjid mereka pun dirobohkan. Memang layak mereka menerima
sedikit balasan daripada Allah.

Bencana Tsunami sepatutnya menyedarkan kita dari khayalan dan
kederhakaan kita kepada Pencipta Yang Maha Gagah. Marilah sama-sama kita
berdakwah menyampaikan apa yang patut disampaikan sekadar yang kita
mampu. Larangkan anak-anak kita, ahli keluarga kita dari berada di
tempat-tempat maksiat seperti Konsert Sureheboh. Orang Islam tidak akan
maju dengan Konsert Sureheboh dan pesta maksiat yang lain.

Sunday, April 5, 2009

Gadis yang terbakar tangannya....

PADA suatu ketika, ada seorang gadis yang bernama Jariah datang menemui Rasulullah SAW. Ketika itu dia dalam keadaan sedih sambil memegang tangannya. Dia mahu mengadu kepada Rasulullah tentang tangan kanannya yang sakit dan merah kehitaman.

"Ya Rasulullah, tolonglah saya. Saya tidak mampu menahan kesakitan tangan saya ini. Sudilah Rasulullah mendoakan tangan saya ini supaya pulih seperti sediakala," rayu gadis itu.

Rasulullah berasa terharu dengan penderitaan gadis itu, lalu baginda berkata, "Wahai Jariah, kenapa tanganmu itu boleh terbakar?"

"Pada malam tadi, saya bermimpi. Ketika saya bangun, saya dapati tangan saya sudah terbakar," kata gadis itu lagi.

Rasulullah pun bertanya kepadanya, "Cuba ceritakan kepadaku tentang mimpi kamu."

"Malam tadi, saya bermimpi seakan-akan hari kiamat telah datang. Suasana dunia menjadi goncang, gunung-ganang berterbangan. Ia sungguh mengerikan dan tidak pernah saya melihatnya sebelum ini. Saya juga dapat melihat orang-orang di dalam neraka Jahanam yang meluap-luap apinya.

"Di tempat lain pula saya melihat syurga yang luas dan terbuka lebar. Ketika saya menyaksikan api neraka Jahanam itu, saya seolah-olah pengsan kerana ngeri melihatnya. Saya sangat terkejut apabila melihat ibu saya berada di dalam jurang neraka. Keadaan ibu sangat menyedihkan. Saya hairan kenapa ibu ditempatkan di neraka sedangkan dia membuat amalan baik di dunia," terang gadis itu.

"Bagaimana keadaan ibu kamu ketika di dunia?" tanya Rasulullah.

"Wahai Rasulullah, ibu saya adalah seorang yang kuat beribadat, taat kepada suami, sabar dan bercakap benar," jawab gadis itu.

"Mengapa ibumu ditempatkan di neraka?" tanya Rasulullah lagi.

"Di dalam mimpi saya itu, saya telah bertemu dengan ibu. Ibu mengatakan itulah tempat bagi orang-orang yang bakhil. Hanya sehelai kain dan sepotong lemak yang dibawanya di mana dia pernah menyedekahkannya sewaktu berada di dunia. Dengan amalan itu sahajalah, ibuku dapat berlindung daripada api neraka. Kemudian saya bertanya pula kepada ibu, di manakah ayah berada? Ibu memberitahu ayah sedang berada di syurga.

Kemudian, saya pun pergi mencari ayah di dalam syurga. Saya lihat ayah sangat bahagia di situ. Ayah sedang memberi minuman kepada sahabat-sahabatnya. Air minuman itu diambil daripada tangan Saidina Ali, kemudian Saidina Ali pula mengambilnya daripada Saidina Umar dan Saidina Umar juga mengambil air itu daripada tangan Rasulullah.

Kemudian, saya bertanya kepada ayah, kenapa ayah memberi minuman itu kepada orang lain, kenapa tidak memberikan minuman itu kepada ibu? Ayah memberitahu saya bahawa ibu berada ditempat orang-orang yang bakhil dan orang-orang yang membuat maksiat kepada Allah. Dengan sebab itulah, Allah mengharamkan mereka daripada telaga Rasulullah.

Wahai Rasulullah, saya kasihan melihat ibu, lalu saya mengambil air dari telaga Rasulullah, kemudian diberikan kepada ibu untuk diminum. Tiba-tiba, ibu saya mengeluarkan suara yang menakutkan. Allah telah membakar tangan saya kerana memberikan ibu minum air yang diambil dari telaga Rasulullah. Sedangkan telaga itu hanya untuk orang-orang yang tidak membuat maksiat dan orang-orang yang suka berbuat sedekah," cerita gadis itu dengan jelas.

Maka Rasulullah berkata kepada gadis itu, "Kerana sifat bakhil ibumu itulah yang menyebabkan dia menjadi penghuni neraka".

Setelah melihat tangan gadis yang terbakar itu, Rasulullah meletak tongkatnya pada tangan gadis itu sambil berdoa, "Ya Allah, ya Tuhanku, sembuhkanlah tangannya."

Dengan kehendak Allah SWT dan berkat daripada Rasulullah, tangan gadis itu sembuh seperti sediakala.

lPetikan daripada buku Untaian 366 kisah daripada al-Quran terbitan Edusystem Sdn. Bhd.

Mengingati Al-Aqsa Dibakar......

FIRMAN Allah S.W.T.: ‘‘Dan kalaulah Allah tidak mendorong setengah manusia menentang pencerobohan setengahnya yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat ibadat serta gereja-gereja (kaum Nasrani) dan juga tempat-tempat sembahyang (synagogue kaum Yahudi) dan juga masjid-masjid yang sentiasa disebut nama Allah sebanyak-banyaknya.” (Surah al-Haaj: ayat 40)

Jika dalam ayat di atas, umat Islam telah dilarang daripada menjadikan rumah-rumah ibadat sebagai sasaran mereka di kala peperangan dan di kala damai, sebaliknya pula yang sentiasa berlaku terhadap umat Islam.

Sering kali jika berlaku apa-apa peperangan ke atas umat Islam, pasti musuh-musuh mereka menjadikan masjid-masjid sebagai sasaran.

Lihatlah apa yang berlaku di Babri, India, masjid-masjid di Bosnia lewat konflik Serb-Bosnia, masjid-masjid di Iraq yang sentiasa terdedah kepada penghinaan dan serangan tentera-tentera “paling bertamadun” di dunia, iaitu tentera-tentera Amerika Syarikat (AS).

Di tanah Palestin, ada masjid yang dirobohkan, ada yang dijadikan muzium dan ada yang ditukarkan kepada kandang lembu.

Ada juga masjid yang ditukarkan menjadi kelab malam dan rumah pelacuran seperti mana yang dilaporkan oleh wartawan Palestine Return Centre, United Kingdom dalam filem dokumentari mereka The Cries of the Minarets.

Lebih malang lagi, Masjid al-Aqsa sendiri, yang merupakan masjid ketiga suci umat Islam dan juga kiblat pertama mereka sendiri tidak terlepas daripada ancaman dan juga aksi ganas pihak Zionis.

Dalam peperangan 1967 yang menyaksikan kemenangan rejim Israel dengan bantuan AS, pihak tentera Zionis telah memasuki Masjid al-Aqsa dan menawannya.

Dengan bertrak-trak tentera rejim, mereka telah menari-nari di sekeliling Masjid al-Aqsa sambil menyanyikan lagu:

“Letakkan apricot ke atas epal, agama Muhammad telah hancur dan musnah, Muhammad telah mati. ‘‘Yang ditinggalkan hanyalah anak-anak perempuan yang lemah.”

Lagu tersebut membawa makna bahawa dengan kemenangan mereka yang dianggap sebagai mukjizat itu merupakan berakhirnya agama Islam.

Ia juga menandakan kegagalan umat Islam mempertahankan masjid mereka itu menunjukkan bahawa umat Islam telah kehilangan orang-orang lelaki yang mampu mempertahankan masjid mereka!

Bermula tarikh itu, pihak rejim telah mengisytiharkan tembok sebelah barat Masjid al-Aqsa sebagai milik mereka.

Tembok sebelah barat masjid yang dikenali selama berkurun-kurun sebagai ‘Tembok Buraq’ (kerana dikatakan Rasulullah telah mengikat Buraq di tembok tersebut sewaktu peristiwa Israk dan Mikraj) itu telah ditukarkan namanya kepada ‘Tembok Meratap’.

Ia telah diisytiharkan secara rasmi juga melalui tarikh tersebut sebagai kiblat warga Yahudi untuk mereka menunaikan ibadat ‘meratap’ di atas kehilangan ‘Haykal’ yang pernah dibina oleh Nabi Sulaiman di atas tapak tersebut.

Sehingga kini, penganut agama Yahudi yang berfahaman Zionis dari serata dunia akan menunaikan ‘haji’ mereka di sana.

Bagi tentera mereka yang akan menjawat jawatan tertinggi dalam angkatan tentera rejim juga akan menunaikan ‘angkat sumpah’ di tembok tersebut untuk mempertahankan negara Israel (Erez Yizrael) dengan nyawa dan darah mereka.

Perlu diingat, penawanan ke atas tembok Buraq itu bukanlah satu tindakan yang terakhir mereka terhadap Masjid al-Aqsa, tetapi merupakan permulaan bagi mereka untuk merobohkan Masjid al-Aqsa dan membina semula kuil ibadat mereka yang dinamakan sebagai The Mount Temple ataupun Haykal Sulayman.

Sebagai bukti yang kukuh, pada 21 Ogos 1969, seorang penganut fahaman Zionis beragama Kristian dari Switzerland Dennis Micheal telah membakar sebahagian daripada ruang utama Masjid al-Aqsa.

Antara yang mengalami kemusnahan daripada tindakan keganasan tersebut ialah mimbar masjid yang telah dibina semenjak zaman Nuruddin al-Zinki dan pernah digunakan oleh Salahuddin al-Ayyubi di zaman pemerintahannya.

Sehari suntuk, umat Islam telah bertungkus lumus bersama-sama memadamkan api dan juga menyelamatkan kesan -kesan sejarah di masjid tersebut.

Hasil daripada peristiwa pembakaran Masjid al-Aqsa ini, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) telah ditubuhkan untuk menyatukan negara-negara majoriti umat Islam agar menjadikan isu Palestin dan Masjid al-Aqsa sebagai isu utama umat Islam sedunia.

Bagi penjenayah yang telah bertanggungjawab membakar Masjid al-Aqsa pula, beliau telah dibebaskan oleh kerajaan rejim Zionis kerana didapati ‘tidak siuman’, walaupun dari segi profesionnya beliau merupakan seorang doktor perubatan!

Sebagai reaksi terhadap peristiwa pembakaran tersebut, negara-negara Islam telah bersetuju untuk menubuhkan OIC sebagai langkah menjadikan isu Palestin dan Masjid al-Aqsa sebagai isu utama umat Islam sedunia.

Sejak hari itu jugalah, 21 Ogos dianggap sebagai hari memperingati Masjid al-Aqsa sedunia.

Sayangnya, sehingga kini, bukan hanya sekadar isu Palestin tidak dapat diselesaikan oleh OIC, malah isu Masjid al-Aqsa yang sepatutnya diambil peduli oleh setiap umat Islam terpinggir dari agenda OIC.

Ratusan resolusi yang telah diluluskan oleh OIC, namun di peringkat praktikalnya, tiada satu pun yang dapat dilaksanakan.

Lebih malang lagi, dalam mengemukakan apa-apa penyelesaian terhadap isu Palestin, negara-negara OIC hanya menuruti sahaja apa-apa keputusan yang dibawa dari Washington dan Tel Aviv.

Sehingga detik ini, walaupun sudah hampir tiga ancaman yang diumumkan oleh golongan radikal Yahudi semenjak awal tahun 2005 untuk merempuh masuk dan menawan Masjid al-Aqsa, tiada apa-apa keputusan yang dikeluarkan oleh OIC dan mana-mana negara anggotanya berkaitan perkara tersebut.

Sepatutnya, negara-negara OIC menjadikan tarikh 21 Ogos sebagai tarikh untuk diingati oleh semua umat Islam di serata dunia setiap tahun.

Wednesday, March 11, 2009

"Tanda-Tanda Kematian Bagi Orang Islam"

Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulamak adalah benar dan wujud cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini. Rasulallah SAW diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara langsung akan kesukaran menghadapi sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda.
Imam Ghazali rahimahullah diriwayatkan memperolehi tanda-tanda ini sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk menghadapi sakaratulmaut secara sendirian. Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika sampai bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Beliau wafat ketika Imam Ahmad bersedia untuk mengkafankan bahagian mukanya.
Adapun riwayat -riwayat ini memperlihatkan kepada kita sesungguhnya Allah SWT tidak pernah berlaku zalim kepada hambanya. Tanda-tanda yang diberikan adalah untuk menjadikan kita umat Islam supaya dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah SWT.
Walau bagaimanapun semua tanda-tanda ini akan berlaku kepada orang-orang Islam sahaja manakala orang-orang kafir iaitu orang yang menyekutukan Allah nyawa mereka ini akan terus direntap tanpa sebarang peringatan sesuai dengan kekufuran mereka kepada Allah SWT.
Adapun tanda-tanda ini terbahagi kepada beberapa keadaan :

Tanda 100 hari sebelum hari mati.

Ini adalah tanda pertama dari Allah SWT kepada hambanya dan hanya akan disedari oleh mereka -mereka yang dikehendakinya. Walau bagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma samada mereka sedar atau tidak sahaja. Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar.
Seluruh tubuh iaitu dari hujung rambut sehingga ke hujung kaki akan mengalami getaran atau seakan -akan mengigil. Contohnya seperti daging lembu yang baru disembelih dimana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar. Tanda ini rasanya lazat dan bagi mereka sedar dan berdetik di hati bahawa mungkin ini adalah tanda mati maka getaran ini akan berhenti dan hilang setelah kita sedar akan kehadiran tanda ini.
Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang munafaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk memunafaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan diri dengan amalan dan urusan yang akan dibawa atau ditinggalkan sesudah mati.

Tanda 40 hari sebelum hari mati

ini juga akan berlaku sesudah waktu Asar. Bahagian pusat kita akan berdenyut-denyut. Pada ketika ini daun yang tertulis nama kita akan gugur dari pokok yang letaknya di atas Arash Allah SWT. Maka malaikatmaut akan mengambil daun tersebut dan mula membuat persediaannya ke atas kita antaranya ialah ia akan mula mengikuti kita sepanjang masa. Akan terjadi malaikat maut ini akan memperlihatkan wajahnya sekilas lalu dan jika ini terjadi, mereka yang terpilih ini akan merasakan seakan-akan bingung seketika. Adapun malaikat maut ini wujudnya cuma seorang tetapi kuasanya untuk mencabut nyawa adalah bersamaan dengan jumlah nyawa yang akan dicabutnya.
Tanda 7 Hari Sebelum Mati

Adapun tanda ini akan diberikan hanya kepada mereka yang diuji dengan musibah kesakitan di mana orang sakit yang tidak makan secara tiba -tiba ianya berselera untuk makan.

Tanda 3 hari

Pada ketika ini akan terasa denyutan di bahagian tengah dahi kita iaitu diantara dahi kanan dan kiri. Jika tanda ini dapat dikesan maka berpuasalah kita selepas itu supaya perut kita tidak mengandungi banyak najis dan ini akan memudahkan urusan orang yang akan memandikan kita nanti. Ketika ini juga mata hitam kita tidak akan bersinar lagi dan bagi orang yang sakit hidungnya akan perlahan -lahan jatuh dan ini dapat dikesan jika kita melihatnya dari bahagian sisi. Telinganya akan layu di mana bahagian hujungnya akan beransur -ansur masuk ke dalam. Telapak kakinya yang terlunjur akan perlahan-lahan jatuh ke depan dan sukar ditegakkan.

Tanda akhirAkan berlaku

keadaan di mana kita akan merasakan satu keadaan sejuk di bahagian pusat dan ianya akan turun ke pinggang dan seterusnya akan naik ke bahagian halkum. Ketika ini hendaklah kita terus mengucap kalimah syahadah dan berdiam diri dan menantikan kedatangan malaikat maut untuk menjemput kita kembali kepada Allah SWT yang telah menghidupkan kita dan sekarang akan mematikan pula.
Sesungguhnya marilah kita bertaqwa dan berdoa kepada Allah SWT semoga kita adalah di antara orang-orang yang yang dipilih oleh Allah yang akan diberi kesedaran untuk peka terhadap tanda - tanda mati ini semoga kita dapat membuat persiapan terakhir dalam usaha memohon keampunan samada dari Allah SWT mahupun dari manusia sendiri dari segala dosa dan urusan hutang piutang kita.
Walau bagaimanapun sesuai dengan sifat Allah SWT yang maha berkuasa lagi pemurah lagi maha mengasihani maka diriwayatkan bahawa tarikh mati seseorang manusia itu masih boleh diubah dengan amalan doa iaitu samada doa dari kita sendiri ataupun doa dari orang lain. Namun ianya adalah ketentuan Allah SWT semata-mata. Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa semuga kita diberi hidayah dan petunjuk oleh Allah SWT serta kelapangan masa dan kesihatan tubuh badan dan juga fikiran dalam usaha kita untuk mencari keredhaan Allah SWT samada di dunia mahupun akhirat.
Apa yang baik dan benar itu datangnya dari Allah SWT dan apa yang salah dan silap itu adalah dari kelemahan manusia itu sendiri. WALLAHUA`LAM